#

BERITA

PENGHASILAN PRODUK CANTIK DAN SIHAT SECARA ALAMI

Produk kesihatan dan kosmetik mengandungi pelbagai bahan yang boleh dikelaskan sebagai bahan semulajadi dan bahan sintetik. Formulasi suatu produk kesihatan dan kosmetik boleh terdiri daripada samada campuran bahan sintetik dan bahan semulajadi, bahan-bahan sintetik atau bahan-bahan semulajadi sahaja. Secara umum, bahan semulajadi merupakan bahan yang berasaskan sumber tumbuhan, haiwan atau mineral tanpa mengalami sebarang proses kimia atau tidak mengandungi sebarang sebatian kimia. Ia biasanya ditambah ke dalam suatu produk kosmetik dan berfungsi sebagai bahan utama dalam produk tersebut. Manakala, bahan sintetik pula merupakan bahan yang dihasilkan melalui tindak balas kimia, atau bahan yang berasal daripada sumber semulajadi yang telah diubah secara kimia.

Di Malaysia, semua produk kesihatan dan kosmetik perlu bernotifikasi dengan Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum produk kosmetik tersebut boleh dipasarkan. Setiap bahan, samada bahan semulajadi atau sintetik dalam notifikasi produk kosmetik yang dikemukakan kepada NPRA akan disaring secara automatik oleh sistem atau disemak secara lanjut oleh pegawai NPRA.

Secara umum, kebanyakan bahan semulajadi adalah bebas digunakan di dalam produk kosmetik. tanpa had dan syarat. Contoh bahan semulajadi yang dibenarkan dan sering digunakan dalam produk kosmetik adalah seperti ekstrak lidah buaya (aloe vera), ekstrak panax ginseng, ekstrak tea tree, minyak lavender dan sebagainya. Walau bagaimanapun, terdapat juga sebahagian bahan semulajadi yang merupakan bahan terlarang dalam produk kosmetik seperti ekstrak ganja (cannabis), minyak Lippia Citriodora, ekstrak placenta manusia dan sebagainya. Oleh itu, jika notifikasi produk kosmetik yang dikemukakan kepada NPRA mengandungi bahan-bahan terlarang tersebut, maka notifikasi produk kesihatan dan kosmetik akan ditolak dan tidak dibenarkan untuk dipasarkan.

Di Malaysia, semua produk kesihatan dan kosmetik perlu bernotifikasi dengan Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum produk kosmetik tersebut boleh dipasarkan. Setiap bahan, samada bahan semulajadi atau sintetik dalam notifikasi produk kosmetik yang dikemukakan kepada NPRA akan disaring secara automatik oleh sistem atau disemak secara lanjut oleh pegawai NPRA.

Kini, penggunaan produk kosmetik yang berunsurkan bahan semulajadi semakin digemari dan popular di kalangan pengguna. Ini adalah kerana ramai pengguna beranggapan atau mempercayai bahawa produk kosmetik sebegini adalah lebih selamat dan kurang atau tiada sebarang kesan sampingan berbanding dengan produk kosmetik yang mengandungi bahan sintetik. Disebabkan ramai pengguna berfikiran bahawa ‘bahan semulajadi menjamin keselamatan’, maka telah menjadi satu trend pengilang-pengilang produk kosmetik berusaha untuk menggantikan bahan-bahan sintetik dengan bahan-bahan semulajadi dalam penghasilan produk kosmetik bagi memenuhi kehendak pengguna.

#