#

BERITA

ECO-HEROES PTSB BINA GENERASI PEKA PERUBAHAN IKLIM SEJAK AWAL USIA

 

KULIM – Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) menerusi pasukan penyelidik Dana Kajian Sosial Kementerian Pendidikan Tinggi 2025 telah menganjurkan program Eco-Heroes: Misi Karbon Neutral 2050 bersama murid Tahun 6 Sekolah Kebangsaan Taman Hi-Tech (SKTHT), Kulim bagi meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar dan kelestarian bumi.

Program yang berlangsung di SKTHT itu menyuntik pendedahan awal berkaitan konsep karbon neutral, perubahan iklim dan amalan hijau melalui pendekatan interaktif serta mesra pelajar. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk ceramah pengenalan karbon neutral, kuiz interaktif, aktiviti kreatif bertemakan kelestarian alam sekitar dan penanaman pokok di kawasan sekolah.

Selain itu, program turut diserikan dengan kempen pengumpulan botol plastik 1.5 liter serta bahan plastik terpakai sebagai usaha membudayakan amalan kitar semula dalam kalangan murid sekolah rendah. Sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila para peserta menunjukkan penglibatan aktif dan semangat yang tinggi sepanjang program berlangsung.

Ketua Pasukan Penyelidik, Dr. Rossitah Selamat berkata, pendedahan awal terhadap isu alam sekitar penting dalam membentuk generasi yang lebih peka terhadap perubahan iklim serta bertanggungjawab dalam menjaga kelestarian bumi.

Menurut beliau, usaha membina kesedaran berkaitan karbon neutral sejak usia muda mampu menyokong aspirasi negara ke arah Matlamat Karbon Neutral 2050 di samping melahirkan masyarakat yang lebih prihatin terhadap alam sekitar.

Sementara itu, Guru Besar SKTHT, Puan Fauziah binti Yusof turut merakamkan penghargaan kepada pihak PTSB atas pelaksanaan program yang disifatkan memberi manfaat besar kepada murid sekolah rendah.

Beliau berkata, pendekatan interaktif dan santai yang digunakan sepanjang program berjaya menarik minat murid untuk lebih memahami isu kelestarian serta mengamalkan gaya hidup hijau dalam kehidupan seharian.

Program ini diharapkan dapat menjadi platform pendidikan komuniti yang berterusan dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar selaras dengan agenda pembangunan lestari negara.

# # #